KUALA LUMPUR: Tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang membidas bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony, disifatkan sebagai "seperti cacing kepanasan" oleh Ketua Penerangan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Dr Oswald Aisat Igau.

Oswald berkata, kenyataan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) itu, yang tersebar dalam sebuah video sejak Isnin, seolah-olah terpesong daripada topik utama yang disuarakan Peter sebelum ini.

Malah, katanya, tiada satu pun yang dijawab Pandikar Amin berhubung kritikan yang dibuatnya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apa yang dijawab pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu hanyalah bersifat menghentam Peter dan KDM secara peribadi, dan bukannya menjawab mengenai kegagalan beliau bersuara mengenai masalah negeri ini ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan dulu.

"Pandikar Amin sepatutnya amati kenyataan Peter. Dia (Pandikar Amin) dibidas kerana menuduh Perdana Menteri hanya retorik dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di Sabah.

"Peter memberitahu Pandikar Amin supaya memberi peluang dan masa kepada Perdana Menteri untuk menyelesaikan permasalahan di Sabah.

"Pandikar Amin mendakwa jalan di Sabah berlubang, masalah air, masalah elektrik. Peter hanya menegur beliau, kenapa baru sekarang dia bersuara, sedangkan sebelum ini sudah berpuluh tahun berada dalam kerajaan.

"Peter cuma menekankan, beri peluang kepada Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa sama, Oswald turut menyangkal dakwaan Pandikar Amin yang kononnya KDM mempunyai wakil rakyat daripada GRS iaitu Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda.

"Perlu diingat, Wetrom bukan daripada GRS. Gabungan itu hanya berdaftar pada 2022 sedangkan Wetrom sudah menjadi wakil rakyat sejak 2020.

"Beginilah kalau sudah seperti 'cacing kepanasan', bercakap pun main hentam saja," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Oswald juga menyangkal kenyataan Pandikar Amin yang mengatakan KDM "belum teruji kejantanannya" dalam pentas politik.

"Mungkin Pandikar Amin lupa, KDM telah menumbangkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu," tambahnya.

Dalam pada itu, Oswald bagaimanapun tidak menafikan yang KDM pernah memohon untuk menyertai GRS beberapa tahun lalu, namun hasrat itu dibatalkan selepas menunggu terlalu lama.